• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Jawatankuasa Pembangunan Pelancongan Medium Pimpin Tasik Kenyir Sebagai Eko-Pelancongan Terulung

HULU TERENGGANU, 17 September- Kerajaan negeri berhasrat menubuhkan Jawatankuasa Pembangunan Pelancongan Tasik Kenyir bagi meningkatkan kerjasama pelbagai pihak dalam membangunkan destinasi tersebut sebagai pusat eko-pelancongan terbaik.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman, pelaburan kerajaan negeri untuk Tasik Kenyir yang dianggarkan mencecah RM1 bilion selama ini perlu diselaraskan dengan baik.

"Perlu satu kerjasama yang baik antara kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan dan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) sendiri sebagai agensi yang menguruskan untuk kita selaraskan pembangunan yang kerajaan negeri telah habiskan di sini,

"Dengan kerjasama ini, kita akan jadikan Tasik Kenyir tumpuan utama pelancong pelbagai peringkat," katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas sesi dialog bersama Persatuan Pelancongan Tasik Kenyir, yang terdiri daripada pengusaha-pengusaha pelancongan setempat di Pusat Penerangan Pelancongan di Pengkalan Gawi, baru-baru ini.

Jelasnya, sesi dialog bersama pemain industri pelancongan tempatan itu menimbulkan pelbagai isu yang direkodkan dan akan diperhalusi di peringkat tertinggi kerajaan negeri.

"Para pengusaha mengetengahkan pelbagai isu dan ada antaranya menjadi tanggungjawab kami untuk menyelesaikannya. Kami positif dengan maklumat ini dan walaupun ada perkara yang tidak boleh selesai esok, tetapi kita bersedia menyelesaikan dari segi infrastruktur.

"Hari ini, kami turut meninjau beberapa lokasi di Air Terjun Lasir, Taman Rama-Rama dan Taman Orkid yang menjadi tempat tumpuan dan akan diperhalusi. Manakala, kursus-kursus yang dicadangkan, insya-Allah kita akan buat kerana walaupun berpengalaman 20-30 tahun, ilmu mereka perlu disesuaikan dengan perkembangan zaman," katanya.

Dalam pada itu, Ariffin turut mengumumkan dana berjumlah RM20,000 bagi membantu keperluan pengusaha di sana.

"RM20 ribu walaupun tidak besar, tetapi mereka dapat gunakan untuk menambah baik keperluan dan meningkat kerjasama melalui pelbagai pihak.

"Kita juga ingin maklumkan, jeti Pulau Pos yang sedang dibina dijangka akan selesai pada Disember dan jeti sedia ada akan disesuaikan dengan rumah bot dan bot laju supaya boleh ditempatkan di situ," katanya.

Turut hadir dalam sesi dialog tersebut ialah Pengurus Besar KETENGAH, YM Tengku Ahmad Nadzri Tengku Musa dan Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri, Ab Rasid Jusoh.

 

 

 


Tag: