• 23 Apr 2024 | 14 Syawal 1445

Kerajaan Pacu Industri Perikanan Guna Teknologi Dan Bahan Komposit

Oleh: Azkar Zahidi

KUALA LUMPUR, 19 Ogos - Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) sedang berusaha memacu industri perikanan negara menggunakan bot nelayan yang dihasilkan berasaskan bahan komposit serta berteknologi tinggi. 

Timbalan Menterinya, Ahmad Amzad Hashim berkata, MOSTI sedang menggerakkan perkara ini bersama kementerian yang mempunyai kepentingan langsung dalam aspek pembangunan industri perikanan terutamanya Kementerian Pertanian dan Industri Makanan yang turut mengelola jabatan perikanan.

Beliau turut memaklumkan telah memulakan perbincangan bersama Timbalan Menteri kementerian tersebut, Dato' Che Adullah Mat Nawi.

"MOSTI sedang melihat bagaimana industri ini dimajukan oleh negara-negara maju seperti Jepun, Hong Kong dan Eropah yang telah terlebih dahulu menggunakan teknologi pembuatan bot berasaskan bahan komposit.

"Sekiranya ini dapat dijalankan melalui kaedah 'mass production', nelayan boleh membeli bot pada harga yang jauh lebih murah, moden, tahan lasak dan dilengkapi oleh teknologi penangkapan ikan kaedah baharu yang memberi pulangan dan hasil yang jauh lagi tinggi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika mengulas jawapan Menteri MOSTI, Khairy Jamaluddin kepada Wakil Setiu, Shaharizukirrnain tentang usaha MOSTI bagi memacu industri perikanan dengan penggunaan Teknologi dan Inovasi pada penggulungan di peringkat Jawatankuasa Perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Peruntukan Semula) 2020.

Mengulas lanjut, Amzad berkata, inisiatif itu akan melibatkan kajian keseluruhan ekosistem, nelayan, pemasaran serta pengenalan bot nelayan moden daripada bahan komposit bagi menggantikan penggunaan sumber kayu yang semakin mahal dan berkurangan.

Ia juga bagi mengkaji pembiayaan pemilikan bot, teknik dan peralatan menangkap ikan yang memberi hasil lebih tinggi, latihan serta penggunaan teknologi satelit dan sonar dalam pengesanan ikan.