SETIU, 13 Januari – Terengganu mencipta sejarah di peringkat global apabila Lembah Bidong dipilih sebagai lokasi ladang lada hitam pertama di dunia milik syarikat gergasi antarabangsa, McCormick Global Ingredients Malaysia.
Projek berskala mega yang melibatkan nilai pelaburan mencecah RM360 juta itu kini sedang pesat membangun, merangkumi kawasan ladang seluas 600 hektar serta pembinaan kilang pemprosesan berteknologi tinggi.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dato’ Dr. Azman Ibrahim berkata, projek itu merupakan satu pengiktirafan besar buat negeri Terengganu kerana menjadi satu-satunya lokasi ladang milik penuh syarikat itu di dunia.
Lebih membanggakan, Dr. Azman mendedahkan bahawa kualiti tenaga kerja tempatan mendapat kepercayaan penuh pihak pelabur apabila seramai 270 pekerja sedia ada ketika ini adalah terdiri daripada 83 peratus anak jati Terengganu.

"Hampir 300 anak watan Terengganu sedang bekerja di sini, menjadi sebahagian dari kejayaan projek berskala mega ini.
"Ia suatu indikator bahawa anak Melayu Terengganu mempunyai kualiti yang mampu memenuhi standard kerja sebuah syarikat antarabangsa seperti McCormick," katanya.
Beliau berkata demikian dalam Program Sesi Libat Urus bersama Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Exco Pertanian Dan Pegawai Daerah Setiu ke McCormick Global Ingredients (M) Sdn Bhd di Lembah Bidong, di sini, semalam.
Menurut beliau, kerajaan negeri sejak dari awal perancangan telah meletakkan syarat tegas supaya pelabur membina kilang pemprosesan sebagai sebahagian daripada komponen utama projek.
Jelasnya, langkah itu diambil bagi memastikan pemindahan teknologi berlaku dan mengelakkan hasil bumi Terengganu hanya dieksport sebagai bahan mentah tanpa nilai tambah.
"Adalah satu kerugian andai produk keluaran negeri kita hanya dieksport sebagai bahan mentah bagi diproses di tempat lain. Dengan wujudnya kilang, jumlah peluang pekerjaan dapat ditingkatkan secara drastik," tambah beliau.

Setakat ini, pembinaan kilang pemprosesan tersebut telah mencapai kemajuan 75 peratus dan dijangka mula melakukan tuaian hasil pertama pada Oktober 2026.
Apabila projek ini mencapai fasa operasi penuh, ia dijangka menawarkan sehingga 2,000 peluang pekerjaan, sekaligus merancakkan ekonomi penduduk di daerah Setiu dan kawasan sekitarnya.