• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Pemandu Kereta Sewa Di Terengganu Terima RM85,200

KUALA TERENGGANU, 19 April - Kerajaan negeri meluluskan peruntukan RM85,200 untuk bantuan tunai pemilik-pemilik kereta sewa.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital, Ariffin Deraman, terdapat 284 pemandu kereta sewa yang beroperasi di seluruh negeri.

Menurutnya, kerajaan mendapati pemandu kereta sewa juga layak untuk menerima bantuan sekali bayaran berjumlah RM300 seorang melalui program Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu.

"Golongan itu juga turut terkesan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seperti diumumkan kerajaan, berikutan penularan pandemik COVID-19, sejak Mac tahun lalu.

"Walaupun kerajaan sudah membenarkan rentas daerah, tetapi pemandu kereta sewa masih berdepan masalah untuk mendapatkan penumpang berikutan persaingan daripada kereta sapu dan kenderaan e-hailing," jelasnya ketika dihubungi, hari ini.

Tambah Ariffin, bantuan sekali bayaran kepada pemandu kereta sewa berjumlah RM300 seorang itu merupakan tambahan kepada penggiat industri pelancongan yang terkesan susulan pandemik COVID-19.

Terdahulu, kerajaan mengagihkan bantuan sekali bayaran berjumlah keseluruhan berjumlah RM119,100 untuk membantu meringankan bebanan kepada penggiat industri pelancongan yang pendapatan terjejas susulan PKP.

"Bantuan sekali bayaran itu diberikan kepada 43 orang pemandu teksi airport berjumlah RM300, membabitkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM12,900.

"Bantuan itu termasuk kepada 22 pengayuh beca roda tiga berjumlah RM400 membabitkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM8,800 serta pemandu bot penambang seramai 17 orang sebanyak RM400 seorang membabitkan perbelanjaan keseluruhan berjumlah RM6,800," katanya.

Mengulas lanjut, katanya, turut menerima bantuan berjumlah RM300 seorang adalah 167 pengusaha rumah bot di Tasik Kenyir membabitkan perbelanjaan keseluruhan sebanyak RM50,100 serta malim gunung seramai 33 orang pula menerima RM300 membabitkan perbelanjaan keseluruhan sebanyak RM9,900.

"Dan juga 102 pemandu pelancong yang menerima bantuan sebanyak RM300 seorang membabitkan perbelanjaan keseluruhan sebanyak RM30,600," ujarnya.


Tag: