• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

PERSIMA, KLT Kembalikan Kegemilangan Bukit Puteri

Antara persembahan tarian dan seni silat sempena program Mengembalikan Kegemilangan Bukit Puteri. Foto Ehsan: Kelab Karyawan Lensa Negeri Terengganu
Jika diteliti lembaran sejarah tanah air, Bukit Puteri yang terletak berhampiran Pasar Besar Kedai Payang, Kuala Terengganu sememangnya menyimpan seribu cerita dan misteri mengenai sejarah Kesultanan Terengganu sejak beratus tahun dahulu.
Namun, entah mengapa kepentingan bukit itu dari segi sejarah seolah-olah dipinggirkan begitu sahaja sedangkan di atasnya terdapat beberapa monumen dan artifak bersejarah seperti genta, meriam beranak, tiang bendera, rumah api dan Makam Syed Yasin yang cukup tinggi nilainya.
Menyedari hakikat itu, kerajaan negeri melalui beberapa pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini berusaha keras mengangkat dan mengembalikan kegemilangan Bukit Puteri sebagai salah satu tempat bersejarah tumpuan pelancong dan bersempena Tahun Melawat Terengganu 2017.
Timbalan Pengerusi, Kelab Karyawan Lensa Negeri Terengganu (KLT), Junaidi Mohamad berkata, melihat perkembangan itu Pertubuhan Persaudaraan Seni Silat Melayu Pantai Timur (PERSIMA) dengan kerjasama KLT mengambil inisiatif menganjurkan program ‘Mengembalikan Kegemilangan Bukit Puteri’  pada setiap Sabtu bermula 5 Mac lalu di puncak bukit itu.
“Persima dan semua gabungan NGO yang menjayakan program ini membawakan satu konsep yang segar bagi menarik semula minat pelancong tempatan dan luar yang berkunjung ke Kuala Terengganu untuk naik ke Bukit Puteri.
“Konsep yang bertemakan pahlawan dan suasana Melayu lama diadaptasi bagi memberi peluang pelancong mengalami sendiri suasana pemerintahan Kesultanan Terengganu Melayu Lama,” ujarnya kepada Teganukita,hari ini.
Katanya, melalui program yang diadakan itu, pelancong bukan sahaja dapat melawat tempat bersejarah tetapi berpeluang menjadi tetamu istimewa Bukit Puteri dengan disambut ‘penyambut tetamu’ dan ‘pengawal’ yang menjaga tempat bersejarah itu.
“Selepas itu, mereka dihidangkan dengan tarian ‘puteri’ dan persembahan silat serta gendang Terengganu dan kemuncaknya, pelancong akan dibawa mengadap ‘panglima-panglima’ di singgahsana kubu Bukit Puteri,” katanya.
 

Dari segi persembahan Junaidi berkata, Persima yang terdiri daripada 50 perguruan membuat persembahan seni silat secara bergilir-gilir mengikut aliran perguruan masing-masing pada setiap minggu.
“Malah, Persima juga memberi peluang kepada pelancong untuk menikmati sendiri suasana dengan menyediakan busana tradisional untuk dipakai dan KLT diberi kepercayaan untuk merakam kenangan para pelancong dan persembahan yang diadakan pada setiap minggu.
“Terengganu Creative Talent pula menyediakan sang ‘puteri’ yang cantik dan sopan bagi menjayakan program yang turut mendapat sokongan daripada kerajaan negeri, Lembaga Muzium Negeri Terengganu dan SUKTRA Terengganu,” ujarnya.

Menurut Junaidi, selain dapat memajukan lokasi bersejarah dengan pengisian aktiviti kebudayaan, secara tidak langsung dapat memartabatkan seni silat Melayu Terengganu dengan persembahan variasi silat berbeza pada setiap minggu.
Katanya, menerusi program yang diadakan itu diharap dapat menarik lebih ramai pelancong yang berkunjung ke Terengganu dengan menjadikan Bukit Puteri destinasi wajib singgah, sekali gus menyelongkar tinggalan sejarah di bukit yang pernah menjadi kubu pertahanan semasa perang saudara pada zaman pemerintahan Sultan Mansur II, Sultan Muhamad I dan Sultan Umar.

Tag: