• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Peruntukan RM80 Juta Jayakan VBT 2017

Wan Abdul Hakim memukul gong sebagai simbolik Perasmian Perayaan Pesta Karnival Sambutan Tahun Baru Cina 2017 di Kampung Cina, Kuala Terengganu, malam tadi. Foto oleh Harish Fadzillah Kasim.


Kerajaan negeri memperuntukkan RM80 juta untuk sektor pelancongan negeri khususnya menarik kehadiran 5.5 juta pengunjung dalam dan luiar negara ke Terengganu sempena Visit Beautiful Terengganu (VBT) 2017.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, sempena kempen VBT tersebut, pelbagai peluang baharu diwujudkan, bagi memberi impak positif terutamanya bagi meningkatkan ekonomi rakyat, pemain industri dan juga kerajaan.

“Yang lebih penting ialah manfaat secara langsung yang dapat dinikmati oleh rakyat terutama di kalangan para peniaga, pemandu teksi, pengusaha restoran, pengusaha hotel, ejen-ejen pelancongan, penggiat seni dan mereka yang terlibat dalam industri hiliran pelancongan.

“Saya yakin VBT 2017 bakal mendapat kejayaan yang lebih baik lagi daripada Pesona Terengganu 2015. Ini bertepatan dengan pepatah Cina yang bermaksud kita harus menjadikan kejayaan-kejayaan yang lepas sebagai batu loncatan untuk mencipta kejayaan yang lebih besar,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Pengerusi Pelancongan dan Kebudayaan I, Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar pada Majlis Perasmian Perayaan Pesta Karnival Sambutan Tahun Baru Cina 2017 dan Majlis Pelancaran Lagu ‘Beautiful Terengganu – I Love You’ versi Bahasa Malaysia di Kampung Cina, Kuala Terengganu, semalam.

Turut hadir Presiden Persatuan Dewan perhimpunan Tiong Hua Terengganu. Tan Beng Sang dan Setiausaha MCA Kuala Terengganu, Toh Seng Cheng.

Tag: