• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Si Kembar Cantik, Pintar Terima RM3,000 Seorang Anugerah Sarjana


“Saya gembira naik pentas bersama kembar menerima Anugerah Sarjana Yayasan Terengganu. Alhamdulillah saya dapat meneruskan kecemerlangan ini bersama-sama sejak dari sekolah rendah sehingga ke menara gading.

“Kami memang belajar sama-sama satu kelas tidak pernah terpisah sejak tabika dan harungi susah senang bersama hingga berjaya menggenggam Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Sains Kejurulatihan dari UPSI (Universiti Pendidikan Sultan Idris),”kata Faten Fazrin Mohd Sharin, 25, dari Kampung Amir, Kota Putera, Besut, semalam.


Faten Fazrin
Faten Fazrin dan kakak kembarnya, Fatin Syafika, masing-masing mendapat RM3,000 beserta sijil dan cenderahati.

Mereka termasuk di kalangan 200 pelajar yang mendapat RM5,000 seorang (36 pelajar) dan RM3,000 seorang (164 pelajar) sempena Majlis Anugerah Sarjana YT Tahun 2017 di Cindai Ballroom, Duyung Marina Resort, Kuala Terengganu, semalam.

Pasangan kembar yang juga anak bongsu kepada pesara guru Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Besut, Mohd Sharin Abd Rahman, 68, serta isteri, Fatmawaty Abdullah, 58, mahu menunaikan hasrat ayah mereka supaya meneruskan legasi keluarga pendidik.


"Syukur dan terima kasih dengan insentif dari kerajaan negeri kepada golongan mahasiswa seperti kami. Pengiktirafan ini menjadi pendorong untuk kami membalas segala sumbangan ini untuk menjadi pendidik yang cemerlang selaras kehendak pucuk pimpinan negeri dan negara.

“Kami kini menunggu tawaran penempatan perkhidmatan di mana-mana sekolah. Malah, masih berharap jika mendapat peluang berkhidmat di sekolah yang sama walau kami sedar harapan itu sangat mustahil.

“Apabila melangkah ke alam kerjaya dan makin dewasa, kami akur kami perlu terpisah sementara bagi mencapai cita-cita masing-masing di bidang perguruan,”kata Fatin Syafika.

Fatin Syafika
Menurut Fatin Syafika lagi, walau sekuat manapun kasih-sayang mereka, ada ketika dia perlu memberi ruang kepada adik kembarnya untuk memilih jalan hidup dan kini adiknya itu sudahpun menjadi isteri orang sejak beberapa bulan lalu, juga mengahwini seorang pendidik.



Tag: