• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Status OKU Bukan Alasan

KEMAMAN, 9 Disember - Pasangan Orang Kurang Upaya (OKU) ini tidak pernah menjadikan status mereka sebagai alasan untuk bermalas-malasan.

Kekurangan mereka yang tidak dapat berjalan normal seperti manusia lain bukanlah penghalang untuk mereka menjadi penternak ikan keli yang berjaya.

Muhammad Firdaus Hassan, 27, dan pasangannya, Nurul Jannah Roh, 25, telah menjalani kehidupan mereka dengan berkerusi roda sejak lebih sembilan tahun lamanya.

Mereka mengusahakan perternakan ikan keli bermula bulan Mac tahun ini, ketika permulaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Firdaus ketika ditemui pihak Urusetia Penerengan Darul Iman di kediamannya di Kampung Tanjung, Bukit Mentok memberitahu, beliau telah terlibat dengan kemalangan jalan raya pada 2011.

Manakala isteri beliau menderita sakit saraf sejak berumur 17 tahun.

"Lebih kurang 400 ekor ikan keli kami ternak dan ada juga sebahagiannya sudah dijual. Kami berharap semoga perniagaan ikan keli kami lebih maju dan dikomersialkan dengan lebih jauh," ujar Firdaus ketika ditanya mengenai harapan beliau.

Pihak Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) telah bersetuju untuk menghulurkan bantuan bagi meringankan beban mereka.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Ab. Razak Ibrahim yang turut hadir semalam telah menyampaikan sedikit sumbangan buat pasangan OKU terbabit.

"Semoga anak muda di luar sana dapat jadikan kisah mereka ini sebagai sumber inspirasi untuk terus berjuang dan berjaya dalam hidup," kata Ab. Razak.


Tag: