• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Tanam Nanas Di Tanah Terbiar, Kaut Hasil RM14.4 Juta

SETIU, 5 Disember - Projek tanaman nanas MD2 di tanah terbiar seluas 350 ekar di Kampung Pak Kancil di sini bakal memberi pulangan sebanyak RM14.4 juta pada Februari 2023.

Buat permulaan sebanyak 1.8 juta pokok MD2  akan ditanam di kawasan 60 ekar melibatkan 30,000 pokok yang akan diuruskan oleh lapan peserta terdiri daripada penduduk setempat.

Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, projek itu merupakan usahasama antara Terengganu Agrotech Development Corporation Sdn Bhd (TADC), Pejabat Daerah Setiu dan syarikat Ras Tanura Sdn. Bhd dengan pelaburan sebanyak RM10 juta.

Katanya, penanaman nanas berskala besar itu bakal membuka peluang  pekerjaan kepada komuniti setempat dan mampu melahirkan lebih ramai  usahawan tani pada masa hadapan. 

“Melalui projek sama, satu Program Usahawan Tani akan dibangunkan melibatkan penyertaan usahawan nanas dari kalangan penduduk setempat berumur 18 hingga 50 tahun yang tidak mempunyai pekerjaan tetap dengan penawaran pendapatan tetap sebanyak RM6,000 sebulan.  

“Usahawan Nanas MD2 yang menyertai  selama tiga tahun bakal memperoleh pelbagai manfaat.

“Antaranya diberi sejumlah dua ekar tanah yang bertanam, jaminan hasil yang akan dibeli oleh pihak TADC dan Ras Tanura, khidmat nasihat, tunjuk ajar serta bantuan mudah cara pinjaman,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Projek Penanaman Nanas MD2 hari ini.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr. Azman Ibrahim dan Pegawai Daerah Khidmat Pengurusan Pejabat Daerah Setiu, Rosli Latif.

Ahmad Samsuri turut memberitahu, kerajaan akan terus bekerjasama dengan pemain sektor industri pertanian dalam menjamin dasar kecukupan bekalan makanan.

“Hingga kini pelbagai bentuk bantuan, projek atau program bagi menjamin kecukupan bekalan makanan khususnya untuk rakyat Terengganu telah disalurkan,” katanya.
.  

 


Tag: