• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

TDM Bangkit, Rekod PBT RM9.6 Juta Bagi 2020

KUALA TERENGGANU, 28 Jun - Kumpulan TDM Berhad kembali mencatatkan keuntungan berikutan peningkatan keputusan kewangan bagi 12 bulan yang berakhir pada 31 Disember 2020 (FY2020).

TDM telah merekodkan Hasil sebanyak RM442.9 juta, iaitu peningkatan 4.2 peratus berbanding RM425.1 juta yang dicatatkan pada FY2019 yang menyumbang kepada Keuntungan Sebelum Cukai (PBT) berjumlah RM9.6 juta.

Pencapaian tersebut sekali gus membawa perubahan kepada status kerugian (PBT) yang telah direkodkan pada FY2019 (-RM40.4 juta), FY2018 (-RM37.6 juta), dan FY2017 (-RM96.8 juta).

Pengarah Eksekutif TDM, Haji Najman Kamaruddin berkata, tahun 2020 dibentuk oleh pandemik COVID-19.

"Kesan ketidakpastian terhadap landskap ekonomi mempengaruhi operasi di kedua-dua bahagian perladangan dan penjagaan kesihatan.

"Meskipun melalui tahun yang mencabar, TDM menunjukkan daya saing dan kemampuan beradaptasi melalui rancangan perniagaan yang strategik.

"Bagi memastikan kesinambungan perniagaan, seterusnya menyumbang kepada anjakan paradigma dalam prestasi kewangannya dan kembali memacu kepada pertumbuhan positif syarikat," katanya dalam satu kenyataan, selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-56, baru-baru ini.

Mesyuarat berkenaan dipengerusikan oleh Pengarah Bukan Bebas Bukan Eksekutif, Haji Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun, di mana lapan resolusi telah diluluskan oleh semua pemegang saham yang hadir.

Pada AGM ke-56 tersebut, TDM mengumumkan pencapaian dan prestasinya bagi tahun 2020, setelah berjaya menukar trend penurunan yang memberi kesan kepada tiga tahun sebelumnya, menempatkan syarikat pada tahap yang kukuh bagi memanfaatkan prospek pasca pandemik.

Mengulas lanjut, menurut Najman, peningkatan Hasil TDM disumbangkan oleh bahagian perladangan menerusi harga Minyak Sawit Mentah (CPO) dan Isirong Sawit (PK) yang lebih tinggi serta gangguan pengeluaran disebabkan oleh wabak pandemik yang minima.

"Secara keseluruhan, Kumpulan telah merekodkan pencapaian EBITDA diselaraskan berjumlah RM96.4 juta, peningkatan sebanyak 51% berbanding RM63.6 juta pada tahun sebelumnya.

“Dengan komitmen berterusan daripada pasukan perladangan dan penjagaan kesihatan sepanjang tahun lalu, TDM sekali lagi berjaya menunjukkan keupayaan dan kemampuannya dalam mencapai penganugerahan serta prestasi memberangsangkan.

"Sekali gus membuktikan keberkesanan strategi pertumbuhannya dalam mengendalikan operasi sepanjang tempoh pandemik," jelasnya.

Untuk rekod, TDM telah kembali tersenarai sebagai sekuriti Patuh Syariah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) berkuatkuasa 27 November 2020, menjadikannya sebagai salah satu daripada 715 saham patuh 
Syariah di Bursa Malaysia, bersama 34 syarikat perladangan yang lain.

Pada bulan yang sama, TDM juga disenaraikan dalam Indeks Perladangan Kelapa Sawit FTSE Bursa Malaysia sebagai salah satu daripada tujuh pemain industri perladangan dan antara lima konstituen teratas dengan penarafan tiga daripada lima bintang.

Syarikat juga memperoleh penarafan tiga bintang (daripada empat bintang) bagi aspek Alam Sekitar, Sosial, dan Tadbir Urus (ESG) dibawah FTSE Bursa Malaysia (FBM), meletakkannya pada kategori kedua tertinggi (26 hingga 50 peratus teratas) di antara syarikat tersenarai awam di FBM EMAS yang dinilai oleh FTSE Russell.


Tag: