• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

200 Set PPE Diperlukan Setiap Hari

DUNGUN, 10 November - Peningkatan mendadak kes COVID-19 di Rasau menyebabkan 200 set Peralatan Perlindungan Diri (PPE) diperlukan setiap hari.

Mengulas lanjut, Pegawai Kesihatan Daerah, Pejabat Kesihatan Daerah Dungun, Dr. Fathul Hakim Hamzah berkata, petugas barisan hadapan yang terlibat di dalam aktiviti kawalan dan pencegahan bukan sahaja terdiri daripada kakitangan Pejabat Kesihatan Dungun tetapi juga daripada luar daerah. 

"Mereka ada 'team' yang ditempatkan di tempat saringan dan ada 'team' dari rumah ke rumah untuk memantau adakah mereka yang dikuarantin mematuhi SOP yang ditetapkan. 

"Sumbangan daripada Jabatan Perpaduan ini tepat pada masanya, jadi kita boleh fokus kepada aktiviti kita dan tidak perlu risau kekurangan PPE," ujarnya.

Dr. Fathul Hakim berkata demikian selepas Majlis Penyerahan PPE Siri 2 Tahun 2020 Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Che Lijah dan KRT Rumah Awam Kos Rendah (RAKR) Gong Pasir di Pejabat Kesihatan Daerah Dungun di sini hari ini.

Majlis yang disempurnakan oleh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri Terengganu, Alias Harun itu turut dihadiri Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Negeri Terengganu, Burhanuddin Daud dan Pegawai Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Daerah Dungun, Tengku Mazilawati Tengku Muhamad.

Sehubungan itu, Burhanuddin menjelaskan, sebenarnya usaha pihak Kementerian Perpaduan mengadakan projek PPE ini, adalah untuk membantu petugas barisan hadapan yang berhadapan dengan COVID-19. 

"Kementerian sememangnya banyak menerima permintaan Rukun Tetangga seluruh negara untuk membuat PPE, tetapi yang diluluskan hanya sebilangan kecil sahaja.

"Untuk Terengganu buat masa ini ada dua fasa, fasa pertama  sebanyak 3000 unit iaitu tiga unit sepasang telah dihasilkan oleh KRT Kampung Besol dan Taman Madani, manakala fasa dua, KRT Che Lijah dan RAKR Gong Pasir telah berjaya menyiapkan 279 unit, 151 baju dan 128 tudung," katanya. 

Alias pula memuji usaha tersebut  dimana masyarakat berganding bahu dan bersama memainkan peranan untuk berhadapan suasana negara yang diancam pandemik COVID-19. 

"Saya juga berterima kasih kepada pelbagai pihak yang tidak duduk diam dan  berusaha menyediakan keperluan-keperluan 'frontliners', walaupun dilihat COVID-19 ini tiada berkesudahan tetapi sebagai hamba Allah kita kenalah sentiasa berdoa, bermunajat dan bersolat hajat agar pandemik ini berakhir atau vaksin mencegah COVID-19 berjaya dihasilkan," katanya. 


Tag: