• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

Berita Palsu Banjir : Tindakan Tegas Akan Diambil

KEMAMAN, 8 Januari - Polis Terengganu memandang serius dan akan mengambil tindakan tegas terhadap isu penyebaran berita palsu oleh sesetengah individu mengenai bencana banjir.

Ketua Polis Terengganu, Dato' Roslee Chik menyatakan perbuatan tersebut adalah budaya tidak sihat dan boleh menimbukan kekeliruan dan panik dalam kalangan masyarakat.

“Penyebaran perkara yang tidak betul atau ‘fake’ adalah satu lagi budaya viral yang tidak sihat, ia juga akan menyebabkan kegusaran orang ramai. 

“Pihak polis akan bertindak tegas melalui kertas siasatan jika ada laporan dibuat berkenaan isu ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas membuat tinjauan udara mengenai keadaan banjir di daerah Kemaman dan Dungun, hari ini. 

Tambahnya, individu yang melakukan kesalahan tersebut boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia dan Seksyen 290 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kemudaratan dan bencana. 

Sementara itu, mengulas situasi banjir di Kemaman dan Dungun, Roslee memaklumkan berdasarkan pemantauan yang dilakukan, banjir dilihat masih bertahan dan banjir di sesetengah kawasan mula surut.

"Hasil pemantauan bersama Unit udara PDRM hari ini, kawasan Air Putih, Kampung Pasir Gajah, dilihat masih digenangi air. 

“Bagaimanapun, ada kawasan yang mulai surut juga dan InsyaAllah dengan cuaca yang baik, banjir akan pulih," katanya. 

Menurutnya, dua balai polis iaitu Balai Polis Pasir Gajah di Kemaman dan Balai Polis Kuala Jengai turut terkepung ekoran limpahan air Sungai Pinang dan Sungai Dungun.