• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

Kobert Perkenal Jersi Versi Replika

Jersi Terengganu FA, T-Team FC dan THT boleh mula didapatkan di Al-Ikhsan seluruh Terengganu serta beberapa cawangan di Lembah Klang.

Kobert bakal memperkenalkan jersi versi replika untuk Pasukan Hoki Terengganu (THT), Terengganu FA dan T-Team FC dengan harga RM69.90 bermula pertengahan Februari ini sebagai menghargai peminat bola sepak serta hoki di Terengganu.

Pengarah Urusan Kobertbell Marketing (M) Sdn Bhd, Faeez Asry Yusof berkata Kobert sebagai penaja utama pasukan Terengganu FA, T-Team FC dan THT telah menurunkan harga untuk jersi versi pemain dari RM149.90 kepada RM129.90.

Katanya, penurunan harga serta pengenalan jersi versi replika tersebut adalah tanda sokongan pihaknya kepada para peminat pasukan bola sepak serta hoki Terengganu.

"Selain daripada inisiatif oleh pihak kami, saranan Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman yang juga selaku Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu berkaitan harga jersi turut diambil kira.

"Pihak kami juga mengambil inisiatif untuk mengeluarkan jersi versi replika yang lebih murah harganya bagi memberi peluang kepada semua peminat untuk mendapatkan jersi original dari Kobert," katanya ketika ditemui dalam Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Fotografi Telusuri Terengganu di Hotel Rimba, Kuala Nerus.

Mengulas lanjut tentang kualiti yang digunakan pada jersi versi pemain, Faeez berkata ianya menggunakan teknologi terbaru bagi keselesaan pemain.

"Dengan harga yang dijual, ianya memang berbaloi kerana kami menggunakan teknologi terbaru iaitu FR9.

"Teknologi ini menggunakan material yang memang berkualiti tinggi, ringan, membantu mengeluarkan kehangatan serta membantu penyejatan peluh dengan lebih cepat," katanya.

Dalam pada itu, Faeez berkata bagi versi pemain, peminat boleh mula mendapatkannya di Kobert Concept Store yang terletak di perkarangan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus dan Al-Ikhsan seluruh Terengganu serta beberapa cawangan di Lembah Klang khas kepada mereka yang berada di sana.

Tag: