HULU TERENGGANU, 28 Disember - "Tak tau nak cakap apa perasaan kami sekeluarga setiap kali banjir besar...harta benda banyak yang musnah, sedih sangat," luah seorang mangsa banjir dari Kampung Batu 23, Kuala Berang, di sini.
Rozianah Jusoh, 52, berkata sejak menetap di situ, dia sentiasa berhadapan dengan banjir saban tahun dan tiga kali dilanda banjir besar yang hampir menenggelamkan rumahnya.
"Pada akhir Disember 2021, rumah saya hanya nampak bumbung tapi pada awal Februari 2022, hampir semua rumah kawasan kami tenggelam ketika itu.
"Semua harta benda rosak tak dapat diselamatkan termasuk sarang kelulut yang bernilai lebih RM15 ribu...sampai hari ini masih segar peristiwa tersebut," ujarnya kepada pemberita ketika ditemui di PPS OKB, Kampung Batu 23, hari ini.
Tambahnya, pada banjir gelombang ketiga kali ini, keadaan hampir sama dengan apa yang berlaku pada Disember 2021, hanya bumbung sahaja kelihatan.
"Memang ada bina para besi tapi memandangkan air naik tinggi jadi tak tau apa keadaan dalam rumah sekarang sebab sehingga hari ini masih tidak ada peluang untuk balik memjenguk rumah lagi,"ujarnya.
Sementara itu, Natrah Mat, 47, yang juga mengalami nasib sama turut berkongsi cerita bagaimana dinding rumah dan lantai tercabut akibat arus deras.
"Semalam sempat jenguk rumah, memang terasa sedih bila tengok keadaan rumah apabila ada dinding dan lantai tercabut sama seperti yang berlaku pada banjir besar awal Februari 2022.
"Redha dan pasrah jika terpaksa buang semua barang yang rosak akibat banjir tapi dalam hati sebenarnya saya penat mental dan fizikal apabila ditimpa bencana ini," katanya.