• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Terengganu Umum Tujuh Insentif Bantu Rakyat Terjejas PKP

KUALA TERENGGANU, 4 Februari – Kerajaan Terengganu mengumumkan tujuh insentif khas bernilai RM19 juta bagi membantu rakyat negeri ini yang terjejas akibat penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Januari lalu.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu (BERKAT) PKP 2.0 akan menumpukan semua golongan terutamanya asnaf yang dianggarkan sekitar 81,000 orang.

“Bantuan kepada golongan terbabit iaitu penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) akan disalurkan melalui Insentif ‘bakul makanan’.

“Di samping itu insentif tunai berjumlah RM100 kepada golongan terjejas pekerjaan di sektor yang tidak dibenarkan beroperasi sepanjang PKP 2.0, contohnya tukang gunting, pekerja kedai cucian kereta dan seumpamanya yang dianggarkan melibatkan seramai 48,000 orang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri memaklumkan, golongan pelajar juga tidak akan ditinggalkan selepas kerajaan negeri bersetuju untuk menyalurkan bantuan ‘top up’ internet sebanyak RM100 kepada semua pelajar daripada keluarga yang berpendapatan kurang daripada RM2,500.

“Jumlah penerima adalah berdasarkan penerima bantuan persekolahan. 

“Selain itu, kita juga akan membekalkan 1,600 tablet untuk pelajar-pelajar miskin, yang akan disalurkan melalui anak syarikat Kerajaan Negeri Terengganu (GLC),” jelasnya. 

Memahami PKP 2.0 turut memberi kesan kepada pendakwah, Ahmad Samsuri mengumumkan pemberian Insentif Kuliah Online kepada asatizah yang tiada pendapatan tetap.

Sementara itu, insentif khas sebanyak RM300 seorang kepada penggiat pelancongan Negeri Terengganu, termasuk penarik beca, pemandu bot penambang, kakitangan agensi pelancongan dan pengembaraan (‘imbound’ sahaja), pemandu bot Tasik Kenyir, pemandu pelancong berdaftar, serta pemandu teksi ‘airport’. 

“Persatuan Hotel Malaysia (MAH), Negeri Terengganu turut menerima pengecualian Cukai Taksiran bagi tahun 2020,” jelasnya.

Tambah beliau, masalah capaian internet yang dihadapi pelajar dalam mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) akan diselesaikan melalui Pusat Internet Akses Rakyat (PINTAR).

“Kerajaan negeri akan membuka operasi 20 pusat itu dan keutamaan diberikan kepada pelajar miskin dan bermasalah,” katanya.

Ujar Ahmad Samsuri, rakyat yang memerlukan tetapi tidak termasuk dalam golongan seperti disebutkan di atas boleh menghubungi Pusat Khidmat Masyarakat DUN masing-masing untuk memohon bantuan.


Tag:

Artikel Berkaitan