TERENGGANU , 11 Feb – Program pemerkasaan sektor penternakan di Terengganu menunjukkan hasil positif apabila kumpulan pertama lembu baka Brahman yang diimport dari Australia dilaporkan telah mula melahirkan anak.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dato’ Dr. Azman Ibrahim berkata, sebanyak 128 ekor induk yang dibawa masuk pada November 2025 kini sedang dipantau rapi selepas diagihkan kepada penternak tempatan.

Menurut beliau, kesemua induk tersebut dibawa masuk dalam keadaan bunting bagi mempercepatkan proses penggandaan populasi ternakan di negeri ini.
Beliau turut menegaskan bahawa pemilihan peserta bagi program ini dibuat dengan teliti bagi mengelakkan kegagalan projek 'lembu pawah' yang pernah berlaku sebelum ini.
"Penternak yang aktif dipilih sebagai penerima sebab kita mahu program ini berjaya. Antara punca kegagalan program sebelum ini ialah bila lembu diagihkan kepada bukan penternak. Maka cepatlah daging lembu masuk kawah (disembelih)," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program Perjumpaan Exco Pertanian Bersama Warga Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) Inc. Negeri Terengganu, di sini semalam.
Mengulas mengenai kelahiran pertama itu, Dr. Azman secara berseloroh menyentuh mengenai perbezaan warna antara induk dan anak lembu tersebut yang menarik perhatian ramai.
"Ibu putih, anak hitam. Nampaknya ibu lembu ini dapat terima dengan baik anaknya walaupun mungkin tertanya-tanya mengapa warnanya tidak serupa," tambahnya lagi.
Program ini merupakan sebahagian daripada inisiatif Kerajaan Negeri Terengganu untuk memperkukuh keterjaminan makanan dan memastikan bekalan protein negeri sentiasa mencukupi melalui baka yang berkualiti tinggi.
