lightning-solid
Berita :
'Rakyat Tak Minat Tahu Bidang Kuasa Siapa, Mereka Mahu Penyelesaian' - Dr Azman
'Rakyat Tak Minat Tahu Bidang Kuasa Siapa, Mereka Mahu Penyelesaian' - Dr Azman
Hidayah Azlin
4 jam yang lepas
90

TERENGGANU, 11 Feb - Pemimpin diingatkan supaya tidak berpeluk tubuh atau memberi alasan 'bidang kuasa' apabila melibatkan isu yang menyentuh kepentingan rakyat, sebaliknya perlu mendidik masyarakat untuk sentiasa mematuhi undang-undang.


Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Terengganu, Dato’ Dr Azman Ibrahim berkata, peranan pemimpin adalah untuk memberi isyarat yang jelas dan memastikan rakyat berada di atas landasan undang-undang yang betul.


Menurut beliau, walaupun ruang lingkup penguatkuasaan kerajaan negeri agak terhad kepada isu tanah, air, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan agama, ia tidak bermakna isu-isu di luar bidang kuasa tersebut boleh diabaikan.


"Isu-isu seperti penguatkuasaan undang-undang di laut misalnya, semuanya berada di bawah agensi Persekutuan. Namun, ia bukan bermakna kita sebagai pemimpin negeri hanya memandang sambil berpeluk tubuh dengan alasan itu bukan bidang kuasa kita," katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook rasminya.


Dr Azman menegaskan bahawa rakyat pada dasarnya tidak berminat untuk mengetahui pembahagian birokrasi antara kerajaan negeri dan Persekutuan, sebaliknya mereka mahukan pembelaan dan jalan penyelesaian.


Beliau turut memberi amaran agar pemimpin tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh disalah tafsir sebagai menyokong tindakan melanggar undang-undang.


Sebagai seorang pemimpin wajib memberi isyarat supaya rakyat patuh kepada undang-undang. Malah, kerajaan negeri perlu memainkan peranan penting untuk berganding bahu dengan agensi berkaitan jika isu tersebut menyentuh kepentingan rakyat Terengganu dan jangan sesekali mengeluarkan kenyataan yang seolah-olah merestui pelanggaran undang-undang.


"Jangan pula kita bercakap dengan nada memberikan isyarat bagaikan merestui pelanggaran undang-undang yang berlaku. Ia tidak sewajarnya begitu," tambah beliau lagi.


Tag :

Artikel Berkaitan