• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

500 Penduduk Jerteh Divaksin Setiap hari

BESUT, 13 Julai - Seramai 500 penduduk setempat telah berjaya disuntik sempena inisiatif Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Gong Kemuntong, Jerteh, pada Jumaat lepas.

Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Jerteh, Ustaz Wan Azhar Wan Ahmad berkata, suntikan vaksin kali ini melibatkan penduduk dari 38 buah kampung yang telah diusahakan oleh pihak Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK).

"Alhamdulillah ikhtiar ini telah merapatkan lagi hubungan dan interaksi dengan masyarakat dalam menyalurkan bantuan vaksinasi pada musim pandemik ini.

"Semoga penduduk di daerah Besut terus menyahut seruan ini demi kelangsungan masa depan yang lebih cerah," katanya ketika ditemubual pemberita.

Nafisah Mohd Nor, 76, menyatakan perasaan terharu setelah menerima suntikan pertama di PPV Dewan Gong Kemuntong, Jerteh.

"Sebelum ini saya rasa takut juga untuk dicucuk vaksin, tetapi apabila melihat ramai orang yang telah dicucuk tiada kompilasi kesihatan, jadi semakin berani untuk dicucuk.

"Tak rasa sakit pun dicucuk, jarum yang digunakan sangat kecil dan tidak memberi apa-apa kesakitan pun," ujar beliau saat ditanya apa perasaan setelah menerima suntikan.

Berdasarkan laporan terkini oleh Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKVAV) sehingga 9 Julai, Terengganu mencatatkan jumlah kumulatif pemberian dos vaksin COVID-19 sebanyak 201,040 orang (16 peratus daripada populasi) manakala dos kedua 111,665 orang telah menerima (8.9 peratus).

 


Tag: