• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Ibu Bapa Mainkan Peranan Penting Untuk Kemenjadian Pelajar

 

HULU TERENGGANU, 5 Ogos - Ibu bapa diharap dapat memainkan peranan dalam terus membantu pihak sekolah melahirkan generasi yang berilmu, berdaya saing dan mampu menghadapi pelbagai cabaran dalam kehidupan seharian.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah Pendidikan Dan Pengajian Tinggi, Ustaz Maliaman Kassim berkata, beliau yakin menerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), ibu bapa akan membantu kemenjadian murid dalam pelbagai bidang terutama dalam bidang akademik, kokurikulum dan sahsiah.

“Ibu bapa merupakan tulang belakang di samping guru untuk memastikan kemenjadian murid dalam pelbagai bidang yang mereka hadapi iaitu akademik, kokurikulum, sahsiah dan kepimpinan. Kerjasama ibu bapa juga sangat penting dalam memastikan kejayaan pendidikan di negeri ini.

"PIBG hendaklah sentiasa bekerjasama dengan pihak sekolah bagi memastikan kelancaran pendidikan di sekolah berlangsung dengan baik.

“Saya juga mahu murid memiliki nilai-nilai yang murni seperti hormat menghormati, kasih sayang dan berhati mulia, murid yang dididik secara holistik dalam pengurusan sekolah yang cekap berupaya mencapai potensi diri yang sepenuhnya dalam penguasaan pengetahuan dan kemahiran, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggunggjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas lawatan kerja ke sekolah-sekolah dalam DUN Ajil, di Sekolah Kebangsaan Felda Jerangau Barat, hari ini. 

Tambah beliau lagi, kemenjadian murid itu adalah 'outcome' atau rupa bentuk insan yang mahu dihasilkan daripada usaha dalam mendidik sama ada ia benar-benar terjadi dengan sempurna, kurang sempurna atau tidak menjadi langsung.

Katanya, rupa bentuk insan yang diperlukan itu telah digaris secara sempurna dalam Falsafah Pendidikan 

"Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.

"Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab, berketrampilan dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara," ujarnya.