• 05 Mei 2024 | 26 Syawal 1445

Kerajaan Terengganu Pertahan Itqanul Muluk Sebagai Asas Pemerkasaan Syariah

KUALA TERENGGANU, 15 September - Kerajaan Terengganu mempertahankan Perlembagaan Itqanul Muluk Bi Ta' adilis Suluk sebagai asas pemerkasaan syariah di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi dalam satu kenyataan media di sini hari ini berkata, Perlembagaan Itqanul Muluk Bi ta’dilis Suluk memberi maksud ketelitian raja-raja dengan mengikut tingkah laku yang betul. 

"Ruh atau semangat daripada perlembagaan ini ialah meletakkan garis panduan ke atas mana-mana raja yang mahu memerintah negeri Terengganu bahawa mereka mestilah mengikut hukum-hakam Islam dan tidak boleh sama sekali memberikan wala’ dan kepatuhan kepada penjajah-penjajah," jelasnya.

Dr Muhammad Khalil membuat kenyataan tersebut sempena Sambutan Jubli Perak Pemerintahan Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Al Marhum Sultan Mahmud Al Muktafi Billah Shah serta perasmian Simposium Pelaksanaan Syariah dalam Itqanul Muluk Bi Ta'adil Suluk oleh Yang Dipertuan Muda Tengku Muhammad Ismail Ibni Al Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin di Taman Tamadun Islam Pulau Wan Man di sini semalam.

Beliau turut menjujung kasih sambil berdoa semoga Allah Melimpahkan Rahmat dan Kurniaan-Nya Ke Bawah Duli Pemerintahan Tuanku Sultan Mizan Zainal Abidin.

Seterusnya Dr Muhammad Khalil berkata penguatkuasaan perlembagaan itu bertujuan untuk menyelamatkan negeri Terengganu dari dijajah oleh penjajah asing kerana pada zaman tersebut boleh dikatakan hampir semua negara umat Islam dijajah oleh penjajah asing. 

"Maka tindakan almarhum Sultan Zainal Abidin III adalah satu tindakan politik yang sangat bijaksana demi menjaga dan memelihara bumi Terengganu," tambahnya.

Di zaman sultan tersebut katanya, dilaksanakan hukum jenayah Islam, hudud dan qisas walaupun fakta ini tidak didapati secara bertulis kerana  pelaksanaan hukum-hakam itu dirujuk terus daripada kitab-kitab fiqh jawi yang sudah ada pada ketika itu seperti kitab Matla’ulbadrain karangan Syeikh Daud al-Fatani dan lain-lain lagi. 

"Almarhum Sultan Zainal Abidin III bukan sahaja terkenal dengan kebijaksanaannya dalam pemerintahan bahkan juga baginda adalah seorang ulama yang mengetahui selok belok hukum hakam syarak dan pernah berguru dengan ulama-ulama daripada Fatani," ujarnya lagi.

Dr Muhammad Khalil yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk berkata terdapat bukti-bukti yang diakui oleh sejarah seperti kewujudan penjara yang dibuat daripada buluh di Kampung Atas Tol dan di tempat-tempat lain. 

"Tan Sri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Ahli Parlimen Marang pernah menceritakannya dalam ucapan beliau ketika merasmikan Perayaan 100 tahun Itqanul Muluk Bi ta’adilis Suluk yang diadakan di Kuala Berang pada 7 Januari 2012 tentang satu kisah yang diceritakan turun menurun daripada orang-orang tua berkait dengan seorang lelaki di zaman itu yang digelar sebagai Pak Mat Kawah telah dijatuhkan hukuman hudud potong tangan kerana mencuri," jelasnya

Bagaimanapun tambahnya lagi pada tahun 1919, penjajah British membatalkan perlembagaan Itqanul Muluk.

Katanya rentetan daripada itu ia telah membangkitkan penentangan rakyat Terengganu yang dipimpin oleh Tuan Guru Haji Abdul Rahman Limbong bagi mengembalikan semula Terengganu kepada landasannya yang asal. 

Menurut Dr Muhammad Khalil antara langkah awal ialah tindakan Haji Abdul Rahman menubuhkan Parti Syarikat Islam di beberapa daerah seperti Kemaman, Kuala Terengganu dan Besut. 

Tindakan tersebut katanya menimbulkan ketegangan dengan penjajah British sehingga tercetusnya peristiwa berdarah di Padang Kachung pada tahun 1928 yang  mengorbankan 12 orang syuhada dan berakhir dengan Haji Abdul Rahman Limbong dibuang negeri ke Mekah oleh penjajah British.


Tag: