• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Anak Setiu Jaguh MMA

Saiful Merican yang telah menewaskan Bernard Soriano dalam kategori bantamweight dalam saingan One Championship di Stadium Negara, Kuala Lumpur pada 10 Februari lalu.

Jaguh seni mempertahankan diri campuran (MMA), Saiful Merican, yang berasal dari Setiu terus memahat nama apabila menewaskan Bernard Soriano dari Filipina dalam saingan One Championship THRONE OF TIGERS 2017 pada 10 Februari lalu di Stadium Negara, Kuala Lumpur.

Saiful, 29, yang juga atlet Muay Thai negara, memenangi perlawanan bagi kategori bantamweight selepas menundukkan lawannya dengan mudah apabila pengadil perlawanan mengisytiharkan Technical Knockout (TKO) pusingan pertama kepada Bernard.

Dengan kejayaan itu, Saiful melengkapkan kemenangan kelimanya daripada lapan perlawanan sejak mula menyertai MMA pada 2013.

Saiful berkata, walaupun kemenangan tersebut dianggap mudah, beliau tetap berwaspada dengan lawannya kerana Bernard hanya mengambil masa selama 15 saat untuk menundukkan lawannya dari Indonesia melalui knockout (KO) dalam perlawanan terakhir pada April tahun lalu.

“Perlawanan terakhir saya pada Februari tahun lalu menyaksikan saya tewas dengan peninju dari Filipina, Geje Eustaquio melalui TKO pusingan pertama.

“Untuk kejohanan ini, apa yang penting adalah nasib serta usaha yang dicurahkan oleh peninju sama ada dari pihak sendiri ataupun lawan. Jadi saya hendaklah sentiasa berwaspada,” katanya ketika dihubungi Teganukita, hari ini.


Sebelum menyertai kejohanan tersebut, bapa kepada seorang cahaya mata itu berehat selama setahun dari menyertai mana-mana pertandingan dan hanya menumpukan perhatian kepada keluarga serta perniagaan gimnasiumnya, Merican Muay Thai yang terletak di Solaris Mont Kiara, Kuala Lumpur. Pun begitu, dia tetap melakukan latihan secara intensif bagi mengekalkan stamina.

Pemegang kedudukan teratas Persatuan Muay Thai Dunia (WMA) 57 Kilogram tersebut berkata, untuk mengekalkan prestasi dan berada di tangga sekarang adalah bukan mudah serta memerlukan banyak pengorbanan.

“Saya mula mengenali dunia Muay Thai sejak 1998 apabila sering ada pertunjukan di kampung halaman saya dan sekali gus menarik minat untuk menceburinya.

“Namun, saya tidak menyangka mampu menjadikan sukan lasak ini sebagai karier dalam hidup apabila telah mencipta nama di persada seni pertahankan diri ini walaupun mengalami pelbagai cabaran,” katanya.

Tag: