lightning-solid
Berita :
TFC Fokus Adaptasi Cuaca Menjelang Pusingan Kedua
TFC Fokus Adaptasi Cuaca Menjelang Pusingan Kedua
Ahmad Zaeem Zainudin
20 jam yang lepas
42

KUALA TERENGGANU, 6 Februari - Ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Tengku Hazman Raja Hassan mengakui jadual perlawanan pada waktu petang menjadi cabaran besar buat pasukannya menjelang aksi timbal balik suku akhir Piala Malaysia menentang Kuala Lumpur City FC (KL City) pada 13 Februari ini.

Hazman berkata, rekod prestasi TFC dalam perlawanan yang berlangsung pada waktu petang tidak begitu memberangsangkan, sekali gus memerlukan persiapan lebih rapi bagi memastikan pemain mampu menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca dan fizikal.

IMG_20260208_164428_783.JPG 3.73 MB
"Petang, kalau kira rekod itu tak berapa baiklah bagi TFC," katanya pada sidang media selepas perlawanan suku akhir pertama yang berakhir seri 1-1 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.

Menurut beliau, antara langkah yang akan diambil adalah mengubah jadual latihan supaya bermula lebih awal, sekali gus membantu pemain menyesuaikan diri dengan suhu dan intensiti permainan.

"Pertama, kita kena tukar mungkin kita punya latihan, masa latihan itu kita kena mula lebih awal untuk kita nak sesuaikan dengan keadaan cuaca," jelasnya kepada pemberita.

IMG-20260206-WA0187.jpg 396.33 KB
Hazman berkata, pengalaman sebelum ini ketika berdepan Universiti Malaya (UM) menjadi pengajaran penting apabila pemainnya dilihat bergelut pada fasa awal perlawanan.

"Sebelum ini kita bermain dengan UM, saya tengok memang semua player saya struggle lah untuk separuh masa pertama, 15 hingga 20 minit tu," ulasnya.

Beliau menegaskan situasi sama tidak boleh berulang memandangkan TFC bakal berdepan pasukan berkualiti pada aksi timbal balik nanti.

"Saya tak nak benda ini berlaku lagi dan kita akan berhadapan pasukan yang bagus. Jadi kalau boleh saya nak prepare dengan lebih proper lah," tambahnya.

IMG_20260208_164152_856.JPG 761.7 KB
Sementara itu, Hazman menyifatkan jaringan pembukaan oleh penyerang import dari Belanda, Gervane Zjandric Adonnis Kastaneer, sebagai sesuatu yang penting untuk meningkatkan keyakinan pemain tersebut.

"Untuk saya, secara peribadi untuk dia satu benda yang baik untuk keyakinan diri. Saya sentiasa yakin dengan pemain-pemain saya dan bila kita tengok babak terakhir itu dia masih lagi ada peluang sebelum dikeluarkan," katanya.

Namun, beliau menegaskan tanggungjawab menjaringkan gol tidak seharusnya diletakkan sepenuhnya di bahu penyerang.

"Bukan hanya kita letakkan kerja menjaringkan gol ini pada penyerang sahaja. Maknanya mana-mana pemain pun boleh guna peluang tu sebaik mungkin," jelasnya.


Artikel Berkaitan