KUALA NERUS, 9 Februari -Tradisi turun temurun pembuatan dan permainan Gasing Pangkah di daerah ini akan terus dipertahankankan dan dipelihara terutamanya di Kampung Lingai, termasuk di kawasan sekitarnya yang turut membabitkan Kampung Batu Rakit.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal, LSR.Zaharuddin Zahid berkata, permainan tersebut merupakan warisan tradisional Melayu yang telah lama bertapak dalam budaya masyarakat setempat.
Menurutnya, sejak dahulu, orang Melayu dikenali sebagai pemerhati alam yang kreatif, mereka mampu meniru sumber yang ada di sekeliling mereka dan mengadaptasinya menjadi hasil kerja tangan yang memiliki fungsi, nilai estetik, simbolik serta pendidikan.
"Gasing merupakan antara bukti kehebatan 'local genius' masyarakat Melayu yang mencerminkan pemikiran mendalam orang Melayu terhadap keseimbangan sehingga terhasilnya pelbagai jenis gasing seperti Gasing Pangkah, Gasing Uri, Gasing Jantung, Gasing Leper dan lain-lain.
"Melalui pemerhatian terhadap alam serta pengalaman yang diwarisi secara turun temurun, masyarakat Melayu berjaya menghasilkan gasing yang mampu berpusing dengan stabil dan bertahan lama.
"Keupayaan ini sekaligus membuktikan kewujudan ilmu sains tradisional yang berasaskan kebijaksanaan tempatan,"ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Gasing Pangkah Singgoh @Budaya 3.0, di Perkarangan Pentas Budaya, Pantai Teluk Ketapang, di sini, semalam.

"Terima kasih juga pihak Yayasan Hasanah dengan kolaborasi Kementerian Kewangan Malaysia yang telah memberi geran kepada Lambo Sari dibawah Pertubuhan Kebudayaan dan Keseniaan Daerah Kuala Nerus bagi menjayakan program pada hari ini.
"Arts For All Seasons (ArtsFAS) ialah program geran yang menyumbang kepada usaha yang lebih besar daripada Yayasan Hasanah dengan kolaborasi Kementerian Kewangan Malaysia untuk memelihara dan meraikan kesenian," ujarnya.