KUALA TERENGGANU, 9 Februari– Kerajaan Negeri memandang serius isu pendangkalan Muara Sungai Merang yang berpotensi menjejaskan kelancaran aliran sungai serta meningkatkan risiko banjir, khususnya ketika hujan lebat dan fenomena air pasang.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dato' Hanafiah Mat berkata, susulan itu Kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Malaysia turut terlibat dalam merancang serta melaksanakan Projek Pemuliharaan Muara Sungai Merang, Setiu, yang akan dilaksanakan menerusi proses tender terbuka.
Menurut beliau, iklan tender projek berkenaan dijadualkan pada 16 Februari 2026, diikuti taklimat tender pada 24 Februari 2026, manakala tempoh jualan dokumen tender bermula 26 Februari hingga 12 Mac 2026 dengan tarikh tutup tender ditetapkan pada 26 Mac 2026.
“Berdasarkan jadual semasa, projek ini dijangka mula dilaksanakan sekitar Jun 2026, tertakluk kepada penyempurnaan proses perolehan serta pelantikan kontraktor,” katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman ketika dihubungi.

Sementara menunggu pelaksanaan projek utama tersebut, Hanafiah berkata, Kerajaan Negeri melalui JPS Negeri Terengganu telah mengemukakan kertas cadangan kepada Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPENT) bagi mendapatkan peruntukan anggaran sekitar RM100,000.
Selain itu, katanya, permohonan peruntukan turut akan dikemukakan kepada Pejabat ICU bagi menyokong pelaksanaan langkah-langkah segera dan mempercepatkan tindakan mitigasi di kawasan terlibat.
“Peruntukan ini bertujuan melaksanakan langkah mitigasi awal, termasuk memastikan Muara Sungai Merang kekal terbuka dan tidak tertutup, sekali gus mengurangkan risiko banjir kepada penduduk setempat,” ujarnya.
Beliau menegaskan, Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan sentiasa komited memastikan setiap tindakan dilaksanakan secara berperingkat, terancang dan berfokus dengan keutamaan diberikan kepada keselamatan rakyat, kesejahteraan komuniti setempat serta kelestarian alam sekitar.