TERENGGANU, 11 Februari – Kerajaan Negeri Terengganu menyangkal dakwaan pihak tertentu yang menuduh pihak berkuasa hanya berani bertindak terhadap nelayan tempatan, manakala pencerobohan nelayan asing seolah-olah dibiarkan tanpa tindakan.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dato’ Dr. Azman Ibrahim berkata, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat tuduhan melulu tanpa mendapatkan maklumat yang tepat mengenai operasi penguatkuasaan di perairan negara.
"Jangan mudah menuduh tanpa info. Ini deretan bot nelayan asing Vietnam yang ditahan kerana menceroboh perairan negara di Jeti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kuala Terengganu," katanya.

Mengulas lanjut mengenai nasib bot-bot yang dirampas tersebut, beliau menjelaskan bahawa setiap rampasan perlu melalui prosedur undang-undang yang ketat sebelum tindakan lanjut diambil.
“ Kebanyakan bot yang ditahan kini sedang dalam proses prosiding di mahkamah. Sebaik sahaja proses mahkamah selesai dan bot diisytiharkan lucut hak, ia akan disediakan untuk proses pelupusan.
“ Sebelum ditenggelamkan, komponen berharga seperti enjin dan peralatan lain akan dijual melalui proses tender kerajaan. Badan bot yang kosong kemudiannya akan ditenggelamkan ke dasar laut untuk dijadikan tukun tiruan bagi membantu ekosistem marin dan pembiakan ikan,"ujarnya.
Tambahnya, tindakan ini bukan sahaja berfungsi sebagai pengajaran kepada penceroboh asing, malah memberi manfaat jangka panjang kepada nelayan tempatan melalui peningkatan sumber perikanan di kawasan tukun tersebut.