KUALA TERENGGANU, 11 Februari – Kerajaan Terengganu menegaskan bahawa semua pembinaan rumah ibadat di negeri ini tertakluk kepada undang-undang dan peraturan di bawah Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) serta undang-undang lain yang berkaitan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, prinsip Kerajaan Negeri adalah jelas dan setakat ini rumah ibadat Islam lazimnya melalui proses kelulusan dan pendaftaran.
“Jika terdapat mana-mana rumah ibadat Islam yang dibina tanpa kebenaran, ia juga tertakluk kepada semakan dan tindakan yang sama oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
“Pendekatan yang diambil adalah berasaskan undang-undang dan peraturan,” ujarnya ketika dihubungi pemberita, semalam.
Mengulas lanjut beliau memaklumkan, PBT sedang menjalankan semakan terperinci berhubung status pembinaan rumah ibadat sedia ada, termasuk yang berkemungkinan didirikan tanpa kebenaran, di seluruh negeri.
Katanya, setakat ini maklumat mengenai kewujudan rumah ibadat tanpa kelulusan di Terengganu masih belum diperoleh kerana ia masih berada di peringkat semakan dan pengesahan rasmi oleh badan berkaitan.
“Setakat ini, semakan terperinci sedang dilaksanakan oleh PBT berkaitan rumah ibadat sedia ada di kawasan masing-masing.
“Kerajaan negeri tidak dapat membuat sebarang kesimpulan awal sebelum perincian data rasmi yang telah disahkan diperoleh,” ujarnya.
Menurut beliau, sekiranya hasil semakan mendapati terdapat pembinaan rumah ibadat tanpa kelulusan, perkara tersebut akan ditangani mengikut garis panduan serta undang-undang sedia ada yang sedang berkuat kuasa.
Wan Sukairi berkata, kerajaan negeri mengambil maklum kenyataan Perdana Menteri berhubung isu tersebut, namun menegaskan pendekatan berhemah serta sensitiviti terhadap keharmonian masyarakat majmuk akan terus diutamakan.
Katanya, tindakan yang sama turut melibatkan rumah ibadat Islam sekiranya dibina tanpa kebenaran.
“Setakat ini, rumah ibadat Islam lazimnya melalui proses kelulusan dan pendaftaran. Jika terdapat mana-mana rumah ibadat Islam yang dibina tanpa kebenaran, ia juga tertakluk kepada semakan serta tindakan yang sama oleh PBT.
“Kita terlebih dahulu menitikberatkan aspek pendidikan. Penguatkuasaan undang-undang dan peraturan akan dilaksanakan sekiranya ia menyentuh keperluan serta kemaslahatan umum,” ujarnya.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan memberi kuasa kepada PBT untuk mengambil tindakan terhadap rumah ibadat, termasuk kuil, yang dibina di atas tapak tidak sah selaras dengan peruntukan undang-undang sedia ada.