• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

DUN Terengganu Lulus Enakmen Baharu Untuk Penggunaan Sumber Air

 

KUALA TERENGGANU, 12 Ogos - Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu hari ini meluluskan Enakmen Sumber Air (Terengganu) 2020, bagi meluaskan lagi penguatkuasaan kerajaan negeri terhadap penggunaan dan pengeluaran air di Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Teknologi Hijau dan Utiliti negeri, Dr Mamad Puteh berkata, enakmen baharu di bawah Lembaga Air Negeri Terengganu itu dijangka dikuatkuasakan Januari tahun hadapan.

Katanya, apabila dikuatkuasa kelak, mana-mana industri yang mahu mengguna pakai sumber air Terengganu untuk perniagaan masing-masing akan dikenakan bayaran dengan kadar tertentu.

“Sebelum ini, pihak itu menggunakan air secara percuma sahaja. Negeri lain, sudah lama memperkenalkan enakmen sama, jika Terengganu tetap menawarkan air secara percuma dianggap satu kerugian sedangkan  ia boleh menjana pendapatan untuk negeri," katanya ketika memgemukakan Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Sumber Air (Terengganu) 2020 pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14 di Wisma Darul Iman, hari ini.

Jelasnya lagi, kewujudan enakmen air ini memungkinkan kerajaan negeri meraih pendapatan sehingga RM100 juta setahun dan apa yang bakal diperkenal itu tidak membabitkan Syarikat Air Terengganu (SATU).

“Jadi takrif air pengguna bagi penduduk di negeri ini tidak terjejas, masih dikekalkan  dengan kadar yang sama,” katanya.

 


Tag: