KUALA TERENGGANU, 11 Februari – Pelancongan Berasaskan Komuniti (CBT) Kampung Tebakang, Marang membuktikan keberkesanan model pelancongan yang berteraskan nilai syariah, gotong-royong dan kelestarian alam hasil penglibatan aktif komuniti setempat.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris berkata, kerajaan negeri menyediakan bantuan kewangan bagi memastikan CBT Kampung Tebakang dan daerah lain di Terengganu mampu menjana pendapatan secara berterusan.
Katanya, CBT Kampung Tebakang contoh kejayaan pelancongan berasaskan komuniti.
"Daerah Marang mempunyai pelbagai produk pelancongan semula jadi seperti pulau, sungai dan pantai yang berpotensi dimajukan secara bersepadu.
“Justeru itu, kita mengharapkan kerjasama padu komuniti setempat bagi membuka lebih banyak peluang ekonomi sampingan kepada penduduk," jelasnya ketika dihubungi pemberita, hari ini.

“Kita akan mengenal pasti masalah yang dihadapi dan membantu mengatasinya. Namun, sekiranya masih tidak menunjukkan prestasi memuaskan, kita tidak teragak-agak untuk menutup operasi tersebut," ujarnya.
Setakat ini, sebanyak 30 CBT beroperasi di seluruh Terengganu sebagai pemacu pelancongan berteraskan komuniti yang mengangkat nilai kebudayaan tempatan, kelestarian alam dan semangat kerjasama masyarakat.