lightning-solid
Berita :
Pelajar Terbaik STAM Terengganu Bukti Kejayaan Lahir Daripada Keberkatan Ilmu
Pelajar Terbaik STAM Terengganu Bukti Kejayaan Lahir Daripada Keberkatan Ilmu
Rohayati Ripin
2 jam yang lepas
45

KUALA TERENGGANU, 9 Februari – Kejayaan Putera Nurhazziq Zawawi dinobatkan sebagai Pelajar Terbaik Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) Peringkat Negeri Terengganu membuktikan bahawa kecemerlangan akademik lahir daripada keikhlasan niat, pengorbanan dan keberkatan dalam menuntut ilmu.

Putera Nurhazziq mengakui beliau tidak menyangka akan menerima pengiktirafan tersebut, apatah lagi memperoleh keputusan Mumtaz Sufi, memandangkan terdapat beberapa subjek yang dirasakan kurang meyakinkan.

Menurutnya, detik paling bermakna adalah apabila melihat air mata kegembiraan ibunya sejurus menerima khabar kejayaan itu.

Jelasnya, ia sekali gus menjadi pemangkin untuk terus menghargai pengorbanan ibu bapa dan para asatizah yang tidak pernah jemu membimbingnya.

Katanya lagi, dalam usaha mencapai kejayaan, beliau memilih untuk mengorbankan sebahagian keseronokan remaja dengan mendisiplinkan diri daripada gangguan digital, termasuk memadam aplikasi media sosial dan menghadkan penggunaan telefon pintar agar lebih fokus kepada pembelajaran serta ibadat.

“Saya sedar gangguan digital boleh melalaikan, sebab itu saya tetapkan rutin bangun awal, menyibukkan masa dengan ibadat dan belajar supaya tidak terleka,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada barisan asatizah di Maahad Tahfiz wal Tarbiyah (MTT) yang bukan sahaja mengamalkan pembelajaran dua hala, malah menitikberatkan aspek tarbiyah melalui sesi motivasi dan dakwah berterusan.

Mengimbas perjalanan ilmunya, Putera Nurhazziq berkata kejayaan tersebut bukan disebabkan bakat semata-mata, sebaliknya ketentuan Allah yang dipermudahkan melalui keputusannya menyambung pengajian di institusi pondok selepas SPM.

Beliau pernah menuntut ilmu di Maahad al-Mustofa, Batang Kali, Selangor sebelum mengambil STAM di MTT.

“Falsafah hidup saya ialah mengejar keberkatan walaupun berat, kerana ia akan membawa kepada kejayaan,” ujarnya.

Anak ketiga daripada lima beradik ini berasal dari Kampung Gong Pak Jin, Kuala Nerus. Ibunya seorang suri rumah sepenuh masa manakala bapanya seorang guru sekolah rendah. 

Beliau merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Agama Sultan Zainal Abidin (SMAASZA) sebelum meneruskan pengajian pondok dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) secara dalam talian.

Putera Nurhazziq menyimpan hasrat untuk melanjutkan pengajian ke Universiti Al-Azhar, Mesir dan bercita-cita menjadi pendidik dan pendakwah.

Sementara itu, ibunya, Nor Azilah Kaijo, menyifatkan kejayaan anaknya sebagai satu kurniaan Allah yang amat disyukuri dan menjadi kebanggaan keluarga serta warga pendidik.

Menurutnya, asas agama sentiasa menjadi keutamaan dalam mendidik anak-anak, di samping sokongan berterusan terhadap minat Putera dalam bidang pengajian agama.

Sebagai nasihat, beliau berharap kepada semua ibu bapa agar sentiasa memantau urusan duniawi anak-anak dan memberi sokongan penuh dalam pendidikan agama demi kejayaan seimbang di dunia dan akhirat.




Tag :

Artikel Berkaitan