• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Kerajaan Komited Tambah Pendapatan Pekebun Kecil Getah

KUALA NERUS, 10 November - Kerajaan Pusat melalui Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) menyarankan agar usaha menambah pendapatan pekebun kecil getah diberi penekanan utama dan penggunaan tanah pekebun kecil getah dioptimumkan sepenuhnya.

Menteri Perusahaan Perladangan Dan Komoditi, Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, selaras dengan saranan tersebut, konsep Pembangunan Komuniti Pekebun Kecil Getah diperkenalkan melibatkan penyatuan pengurusan tanah pekebun kecil termasuk kawasan tanah terbiar.

Matlamat utama adalah mewujudkan koperasi bagi membolehkan pekebun kecil menambah pendapatan melalui pengurusan teknologi huluan sehingga hiliran, memendekkan rantaian bekalan (supply chain), penjualan hasil getah dan tanaman sampingan melalui sistem perladangan kontrak (contract farming) dan elemen pembangunan kebun getah secara integrasi dengan ternakan dan tanaman secara berkelompok.

”Koperasi yang ditubuhkan berperanan sebagai pembeli dan penjual getah berlesen termasuk mengurus pengeluaran lateks yang berkekalan (sustainable) bagi keperluan industri.

”Produk nilai tambah (value added product) juga dilaksanakan sebagai pendapatan tambahan kepada pekebun kecil. Berdasarkan kajian, kaedah ini mampu membantu meningkatkan pendapatan pekebun kecil sehingga 30 peratus berbanding kebergantungan terhadap hasil getah semata-mata,” ujar beliau pada Majlis Pelancaran Koperasi Pengusaha Getah Kuala Nerus Berhad di sini kelmarin.

”Semua pihak melibatkan Lembaga Getah Malaysia (LGM), koperasi dan peserta projek yang terdiri daripada pekebun kecil perlu memainkan peranan masing-masing. Adalah diharapkan dengan pelancaran koperasi di Kuala Nerus ini, taraf hidup pekebun kecil getah dapat ditingkatkan ke tahap yang membanggakan,” ujarnya lagi.

Oleh : Faiz Ali Amal Media


Tag: