KUALA TERENGGANU, 5 Februari – Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menegaskan bahawa pelaksanaan pilihan raya Datuk Bandar berpotensi mewujudkan percanggahan antara pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kerajaan negeri sekali gus menjejaskan kelancaran urus tadbir sesebuah negeri.
“Saya faham bahawa mereka ni melihat model-model di negara maju yang dan kita tak boleh dilihat dalam satu aspek sahaja, kita kena tengok secara keseluruhan.
“Jadi, apa yang diamalkan sedia ada di Malaysia hari ini, kita tambah baik itulah. Itu sahaja. Apa sahaja kelemahan yang ada kita tambah baik.
“Saya rasa itu lebih bermakna daripada mengadakan satu perkara baru yang akan memberi kesan kestabilan yang tidak mendatangkan kebaikan kepada sesiapa,” katanya kepada pemberita selepas Mallis Menandatangani memorandum perjanjian (MoA) antara yayasan Terengganu dengan batik Air di Wisma Darul Iman, semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai cadangan Menteri Wilayah Persekutuan, Hannah Yeoh supaya satu kajian dijalankan bagi meneliti kemungkinan pelaksanaan Pilihan Raya Datuk Bandar sebagai usaha meningkatkan kecekapan dan keberkesanan pentadbiran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Mengulas lanjut katanya, beliau tidak bersetuju dengan cadangan mengadakan pilihan raya Datuk Bandar di peringkat PBT, termasuk di Terengganu.
“Pelaksanaan pilihan raya PBT adalah tidak selari dengan kedudukan Perlembagaan Persekutuan yang sedia ada memandangkan kaedah tersebut telah dimansuhkan susulan rusuhan kaum pada tahun 1969.
Menurutnya, walaupun terdapat negeri yang menggubal enakmen bagi membolehkan pilihan raya PBT dilaksanakan, langkah itu tetap bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
“Dengan kedudukan perlembagaan yang sedia ada ketika ini, pilihan raya PBT memang tidak boleh dibuat,” katanya.
Tambah beliau, isu tersebut perlu dilihat secara menyeluruh dan tidak tertumpu kepada soal pilihan raya semata-mata, sebaliknya mengambil kira aspek kestabilan dan keharmonian masyarakat.