KUALA TERENGGANU, 11 Februari – Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) tidak berkompromi terhadap pungutan khairat tanpa kebenaran yang berlaku di negeri ini.
Yang Dipertua MAIDAM, Dato’ Nara Setia menegaskan, semua individu atau pertubuhan yang ingin menjalankan pungutan khairat mesti mendapat kebenaran terlebih dahulu daripada pihak MAIDAM, mengikut subseksyen 90(4) Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam (Terengganu) 2001.
“Kegagalan mematuhi peruntukan ini boleh dihukum denda maksimum RM3,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali. Kami serius dalam memastikan tiada pihak mengambil kesempatan menyalahgunakan dana awam,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di sidang media mengenai Pengumuman Ketetapan Kadar Zakat Fitrah Tahun 1447H/2026M serta Prestasi Kutipan Dan Agihan Zakat Tahun 2025 & Terengganu Perkasa Penguatkuasaan Enakmen, Pungutan Khairat Tanpa Kebenaran di Auditorium Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu, di sini hari ini.
Tambahnya, sepanjang 2025, MAIDAM telah mengambil tindakan terhadap 23 kes pungutan khairat tanpa kebenaran yang didakwa di Mahkamah Syariah.
Menurut beliau, pada tahun 2026, pihaknya bersama Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu akan memperketatkan penguatkuasaan bagi memastikan tiada sebarang penyalahgunaan berlaku.
Tegas Dato’ Nara Setia, tidak ada pengecualian akan diberikan, dan tindakan undang-undang akan dilaksanakan tanpa kompromi kepada mana-mana individu atau pertubuhan yang melanggar peraturan.