KUALA TERENGGANU, 15 Februari - Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) dengan kerjasama Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu (JKSTR) telah mewujudkan Tahun Perundangan Syariah Negeri Terengganu buat julung-julung kalinya.
Yang Dipertua MAIDAM, Dato' Nara Setia berkata, program itu diadakan bertujuan menegaskan komitmen berterusan institusi Kehakimanm Syariah dalam memperkukuh integriti, tadbir urus dan penyampaian keadilan yang telus serta berwibawa
Ujarnya dengan moto 'Transformasi Baharu Mahkamah Syariah Terengganu Menuju 20230', majlis ini mencerminkan iltizam bersama JKSTR dan MAIDAM dalam memperkasa sistem perundangan syariah demi kesejahteraan ummah.
"Sebagai rakan strategik Mahkamah Syariah, MAIDAM turut memainkan peranan penting dalam menyokong pentadbiran dan pengurusan Peguam Syarie Negeri Terengganu.
"Selain terlibat dalam pentadbiran Hal Ehwal Islam iaitu zakat, waqaf, baitulmal, masjid, MAIDAM turut berperanan menyokong penguatkuasaan undang-undang bagi membantu kelancaran proses kehakiman dalam menyediakan prasarana dan sokongan pentadbiran.
"Juga terlibat secara langsung dalam pengambilan dan pengurusan peguam-peguam Syarie Negeri Terengganu,"ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media semasa sidang medianya, selepas menghadiri Majlis Pembukaan Tahun Perundangan Syariah Negeri Terengganu dan Penyampaian Sijil Amalan Peguam Syarie Negeri Terengganu, di Primula Beach Hotel, di sini, hari ini.
Mengulas lebih lanjut, beliau berkata buat pertama kalinya majlis ini turut menyaksikan penyampaian Sijil Amalan telah disampaikan kepada 18 orang Peguam Syarie baharu Negeri Terengganu yang telah memenuhi syarat kelayakan ditetapkan.
"Penyerahan sijil ini melambangkan pengiktirafan rasmi terhadap kelayakan profesional mereka serta amanah besar dalam menegakkan keadilan berlandaskan Hukum Syarak,"ujarnya.

