lightning-solid
Berita :
Terengganu Hampiri Status Negeri Tua, Kerajaan Rancang Program Galak Kelahiran
Terengganu Hampiri Status Negeri Tua, Kerajaan Rancang Program Galak Kelahiran
Rohayati Ripin
2 jam yang lepas
48

KUALA TERENGGANU, 12 Februari – Terengganu kini dilihat sedang menuju ke arah negeri menua apabila kadar warga emas di negeri itu menghampiri 15 peratus, iaitu paras yang membolehkan sesebuah negeri dikategorikan sebagai “negeri tua”.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim berkata , perkembangan itu susulan penurunan kadar kelahiran yang berlaku kebelakangan ini sehingga membentuk struktur populasi seperti “tempayan”, iaitu kecil di bahagian bawah dan atas, tetapi besar di bahagian tengah.

“Sepatutnya populasi kita berbentuk piramid, di atas kecil dan makin besar di bawah, menandakan kelahiran ramai. Tetapi sekarang ini kadar kelahiran semakin menurun,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam sidang media selepas program Terengganu Hijab Day 2026 di Dewan Arena Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Gong Badak, hari ini.

IMG_20260212_195857_494.jpg 1.44 MB
Katanya, perkara itu telah dibincangkan dalam satu program retreat bersama Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) dan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), dan beberapa program susulan akan dirangka bagi menggalakkan pasangan muda mempunyai lebih ramai anak.

Maliaman bagaimanapun berpandangan bahawa faktor ekonomi bukanlah punca utama penurunan kadar kelahiran, sebaliknya lebih kepada faktor kesedaran dan keyakinan terhadap kemampuan membesarkan anak.

“Kalau dua-dua suami isteri graduan dengan pendapatan mencecah belasan ribu ringgit, saya rasa mampu membesarkan lapan atau sembilan anak. 

"Tetapi mereka mungkin kurang yakin untuk berani mempunyai anak ramai,” katanya.

Beliau turut membandingkan situasi tersebut dengan negara kurang membangun yang mempunyai taraf ekonomi lebih rendah namun kadar kelahiran lebih tinggi.

Walaupun kajian menunjukkan faktor ekonomi menyumbang kepada penurunan kadar kelahiran, beliau percaya perubahan gaya hidup dan perancangan keluarga moden turut memainkan peranan besar dalam fenomena ini.

"Saya rasa bukan faktor ekonomi walaupun kajian menunjukkan faktor ekonomi sebahagian daripada faktor yang menyebabkan kadar kelahiran jadi rendah," ujarnya.




Tag :

Artikel Berkaitan