Oleh: Fatimah Din
MARANG, 12 Februari – Seorang peniaga Orang Kelainan Upaya (OKU) tempatan tersenarai sebagai penerima Dana Usahawan Terengganu (DUTE), sekali gus membuktikan kerajaan negeri tidak pernah meminggirkan golongan OKU dalam menerima bantuan.
Peniaga OKU pertuturan, Safira Muhd Kamaruddin, 30, berkata, sumbangan peralatan perniagaan yang berupa 'deep fryer' yang diterimanya membolehkan dia meningkatkan kapasiti pengeluaran makanan gorengan seperti burger, ayam lidi, bebola ikan dan pelbagai lagi jualan ringan.
Bapa mertuanya, Kamaruddin Jusoh berkata, sumbangan tersebut amat bermakna kerana sebelum ini perniagaan menantunya berdepan kekangan dari segi peralatan.
“Pada awalnya jualan agak perlahan kerana gerai hanya dibuka di hadapan rumah dalam kawasan kampung dan belum dikenali. Namun lama-kelamaan pelanggan mula bertambah, khususnya dalam kalangan pelajar sekolah,” katanya.
Kamaruddin berkata, operasi gerai Safira bermula dari jam 11.00 pagi hingga 6.00 petang dan dengan adanya peralatan yang disumbangkan melalui Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) serta sokongan Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dato’ Ariffin Deraman, Safira kini mampu menggoreng dalam jumlah lebih banyak dan lebih pantas berbanding sebelum ini.
“Alatan ini sangat membantu. Sekarang dia boleh siapkan tempahan dengan lebih cepat dan efisien. Saya harap perniagaan ini terus berkembang dan rezekinya bertambah,” ujarnya.
Dalam pada itu, suami kepada Safira juga merupakan OKU kategori pertuturan dan turut menjana pendapatan harian melalui perkhidmatan tempahan makanan, walaupun dengan pendapatan yang terhad.
Inisiatif ini jelas membuktikan komitmen Kerajaan Negeri Terengganu dalam memastikan golongan OKU tidak tercicir, sebaliknya diberi peluang dan sokongan sewajarnya untuk berdikari serta membina kehidupan yang lebih baik melalui keusahawanan.