• 29 Apr 2024 | 20 Syawal 1445

JENDELA Bakal Selesaikan Isu Internet Setiu

SETIU, 13 November - Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang telah diperkenalkan oleh pihak Kerajaan pada bulan Ogos lalu bakal menyelesaikan masalah rangkaian internet di Setiu.

Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abdul Kadir, berkata penduduk di luar bandar khususnya di Parlimen Setiu akan menikmati rangkaian 4G sama seperti di kawasan bandar.

"Jalur lebar di sesetengah kawasan Setiu masih lagi menggunakan rangkaian 2G dan 3G sedangkan pembangunan infrastruktur komunikasi ini merupakan keperluan yang amat penting.

"Inisiatif ini membolehkan penduduk luar bandar mendapatkan perkhidmatan 4G sebagai platform penambahbaikan komunikasi digital serta liputan perkhidmatan jalur lebar yang menyeluruh dan berkualiti tinggi," ujar beliau dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau juga berterima kasih kepada pihak Kerajaan atas jawapan yang lengkap berkenaan masalah rangkaian internet di Setiu serta usaha-usaha yang akan dilaksanakan.

"Jawapan menteri melalui jawapan lisan berkenaan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) memberi berita gembira untuk rakyat Setiu.

"Melalui inisiatif JENDELA, bagi Kawasan Parlimen Setiu, sebanyak 1,322 premis akan dinaik taraf capaian kepada gentian optik. Selain itu, 13 menara kamunikasi baru bakal dibina serta 57 pemancar komunikasi di menara sedia ada turut dinaik taraf," tambah beliau lagi.

JENDELA merupakan inisiatif Kerajaan dalam meningkatkan kesalinghubungan serta kualiti pengalaman perkhidmatan komunikasi di seluruh negara.

Fasa pertama inisiatif ini akan dimulakan dengan mengembangkan rangkaian 4G di Malaysia dari 91.8 peratus ke 96.9 peratus, terutamanya di kawasan yang mempunyai penempatan yang padat.